Slax Linux Sistem Pengoperasian Poket

Slax adalah sebuah edaran Linux desktop minimalis yang ringan dan berkonsepkan Live CD dengan menggunakan persekitaran desktop yang sederhana sebagai pengurus tetingkapnya. Ia menawarkan koleksi aplikasi-aplikasi kecil, termasuk penyemak imbas web Chromium, penyunting teks dan kalkulator yang tersedia secara pra-pemasangan bagi tujuan kegunaan harian.


1.1. Apa Itu Slax?

Slax adalah sebuah sistem pengoperasian moden berasaskan kepada Linux yang bersifat mudah alih, kecil dan pantas dengan pendekatan modular dan reka bentuk yang luar biasa. Ianya boleh dijalankan terus dari pemacu CD atau pemacu denyar USB anda tanpa perlu memasangkannya terlebih dahulu ke cekera keras sistem komputer. Jadi anda boleh membawanya ke mana sahaja anda berada di dalam poket anda.

Untuk prestasi yang lebih pantas anda boleh menyalinkannya ke memori komputer mana pun untuk menjalankannya dari RAM. Keseluruhan sistem pengoperasian Slax tersimpan dalam satu direktori iaitu /slax/ dalam peranti anda, menjadikannya lebih mudah untuk diuruskan bersama-sama dengan data anda yang lain.

Walaupun saiznya kecil, Slax menyediakan paparan antaramuka pengguna grafik yang cukup minimal dan memadai yang berasaskan kepada pengurusan tetingkap (window manager) Fluxbox bersama beberapa aplikasi-aplikasi program pra-pemasangan yang bersesuaian sebagai sebuah sistem pengoperasian Linux yang ringan dan berkonsepkan sistem pengoperasian minimalis.

Pakej perisian boleh ditambah menggunakan program pengurus pakej yang tepat atau boleh disediakan dalam bentuk modul. Oleh itu selayaknya ia dikenali dengan slogan "sistem pengoperasian poket anda" bagi merujuk kepada dirinya yang kecil, minimal dan pantas.


1.2. Sejarah Permulaan dan Pembangunan Slax

Slax telah dibangunkan oleh Tomas Matejicek dari Republik Czech. Keluaran versi 2.9.0.21 pada tahun 2003 sebelum pengeluaran Slax 3 dikenali sebagai "Slackware-Live Linux CD" menggunakan kernel versi 2.4.21 bersama dengan aplikasi-aplikasi program seperti KDE 3.1.3, mplayer 0.91, kopete 0.71, k3b 0.9, apache, php, mysql, mutt and procmail dan lain-lain lagi. Ianya boleh dimuat turun di sini: livecd-2.9.0.21.iso (186MB)

Slax dahulunya merupakan distro yang berasaskan Slackware, jadi tidaklah menghairankan mengapa ianya memiliki persamaan nama dengan Slackware yang menjadi antara distro yang terkenal sebagai pioneer dalam dunia sistem pengoperasian berasaskan Linux. Slax versi terdahulu mengoperasikan desktop KDE sebelum beralih kepada Fluxbox, dan dilengkapi dengan pelbagai koleksi perisian pra-pemasangan.

Selepas versi 6, Slax pernah hilang dari radar tanpa membuat sebarang pengeluaran versi terbaru sebelum pihak pemajunya membuat kemunculan semula dengan mengumumkan pengeluaran Slax versi 7 dengam namakod "Green Horn" di laman web mereka.

Bermula dari Slax 7 pada sekitar tahun 2012, pihak pemajunya telah mula membangunkan versi Slax yang menyokong seni bina 64-bit dan 32-bit, dan "terdapat dalam lebih daripada 50 bahasa" serta dilengkapi bersama KDE 4, wallpaper baharu dan sistem modul baharu.

Pada bulan November 2017, pihak pemaju telah mengumumkan pengeluaran versi 9. Edisi terbaru ini tersebut telah ditulis semula dengan berasaskan kepada Debian, serta menggunakan perisian APT sebagai program untuk mengemaskini dan menambahkan pakej. Pemasangan lalai versi 9 turut menyokong seni bina 32-bit dan 64-bit dan telah bertukar menggunakan Fluxbox sebagai pengurus tetingkap berserta dengan terminal dan turut dilengkali dengan penyemak imbas web Chromium, penyunting teks LeafPad, kalkulator, pengurus fail pcmanfm, dan pengurus rangkaian wicd.

Slax 9 juga menampilkan ciri "Perubahan Berterusan" yang bermaksud bahawa semasa menjalankan Slax dari CD/DVD, ia akan menyimpan semua penyesuaian sistem dalam memori dan akan hilang apabila PC dimatikan atau dihidupkan semula. Modifikasi secara kekal terhadap sistem pengoperasian Slax hanya akan tersimpan jika anda menjalankan Slax dari media storan yang boleh ditulis kembali seperti USB dan cakera keras.

Dengan cara ini, anda akan dapat boot ia dari pemacu USB untuk melaksanakan tugasan harian anda, menyimpan kerja anda, dan kemudian menyambung kembali kerja anda di stesen kerja yang berlainan sama sekali tanpa kesenduan kerana perubahan yang anda lakukan disimpan ke media yang boleh ditulis semula.

Semenjak versi 9 dilancarkan bersama dengan perubahan dalam pembangunan yang memberikan kesan positif terutama setelah beralih dengan menjadikan Debian sebagai asas yang baharu bagi membangunkannya telah menjadikan Slax versi terkini lebih mudah digunakan. Tambahan lagi, akses ke repositori Debian bakal menyediakan pilihan perisian yang jauh lebih besar dan ini adalah satu kelebihan baginya.


1.3. Ciri-Ciri Bagi Slax Linux

  • Perisian percuma: Sistem pengoperasian berasaskan Linux yang percuma untuk dimuat turun dan digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang bayaran.
  • Sumber Terbuka: Ia juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin memberikan sumbangan terhadapan projeknya dan anda boleh mendapatkan kod sumbernya di GitHub
  • Dokumentasi Dalam Talian yang komprehensif.
  • Perubahan yang berterusan.
  • Ia juga disokong oleh blog yang sering dikemaskini bagi tujuan perbincangan, tinjauan, dan pendidikan.
  • Menyediakan sokongan pelbagai bahasa.
  • Boleh disesuaikan dengan beberapa alatan penyesuaian termasuk Conky dan Screenlets.

Tidak sekadar itu sahaja, tetapi pendekatan modularnya "memberi anda kemampuan untuk memasukkan perisian lain ke dalam Slax dengan mudah" sebagaimana yang dijelaskan oleh pembangun Slax tersebut. Jika anda kehilangan penyunting teks kegemaran, alatan jaringan, atau permainan kegemaran anda, anda boleh memasangkannya dengan mudah melalui program APT untuk memuat turun perisian tersebut ke dalam Slax memasangnya dan seterusnya menggunakan ia seperti biasa lalu menyimpan perubahan tersebut dalam betuk modul untuk disalin kedalam direktori penyimpanan data modulnya. Manakala untuk versi terdahulu seperti Slax 7 anda hanya perlu muat turun modul dan salin ke Slax, tidak perlu memasang, tidak perlu dikonfigurasi.


1.4. Paparan Antaramuka Pengguna Grafik

Slax menggunakan Fluxbox sebagai persekitaran desktop lalainya. Tidak pernah mendengarnya sebelum ini? Ia adalah sebuah pengurus tetingkap yang berasaskan kepada Blackbox 0.61.1 yang dibina untuk X agar lebih ringan, mesra memori, pantas dalam beroperasi, dan boleh diubahsuai. Ia dibina menggunakan C ++ dan dikeluarkan di bawah perlesenan MIT.

Fluxbox adalah salah sebuah program pengurusan tetingkap ultra ringan terbaik dalam lubuk Linux, tetapi ciri ultra ringan ini telah membataskan had antaramuka pengguna bagi Slax. Fluxbox tidak menyediakan applet ikon desktop. Juga tidak ada applet dan pelancar aplikasi tambahan untuk skrin atau panel. Tidak ada applet penukar ruang kerja maya.

Namun begitu, anda masih boleh mengaksesnya melalui penggunaan kombinasi pintasan papan kekunci. Sebagai contoh, tekan kekunci Ctrl + f1 atau f2 untuk mengakses ruang kerja maya anda.

Klik butang kanan tetikus pada panel, desktop, sempadan atas tetingkap terbuka, atau ikon berlabuh di panel untuk menghantar aplikasi tersebut ke mana-mana ruang kerja maya seperti gambarajah di bawah ini.


Mengklik kanan pada skrin atau panel juga memberikan akses kepada beberapa penyesuaian sistem. Ini termasuk mengubah resolusi layar, susun atur papan kekunci, mengatur sambungan dalam pengurusan rangkaian dan melancarkan beberapa aplikasi.

Anda masih boleh mengubahsuai Paparan Antaramuka Pengguna Grafiknya dengan menggerakkan panel di sekitarnya, mengubah ukurannya bersama dengan saiz, warna, dan gaya fon sistem anda. Anda juga boleh menetapkan wallpaper moden dan membuat widget menarik dengan pelbagai alatan pengubahsuaian yang tersedia secara percuma di laman web komuniti pengiat sumber terbuka. Antara contoh aplikasi yang bagus untuk tujuan ini adalah menggunakan Conky dan Screenlets.

Paparan Antarmuka Pengguna Grafik Slax juga dapat menerima hampir semua aplikasi moden - sekurang-kurangnya semua yang diuji dapat mengekalkan penampilan yang seragam disamping memberikan prestasi yang boleh diharapkan.

Walaupun dengan keterbatasan yang dimilikinya, dengan menggunakan Fluxbox sebagai pengurus tetingkap kepercayaannya yang memberikan ia kelebihan pengantaraan dengan pelbagai aplikasi produktiviti termasuk Chromium, qalculate sebagai kalkulatornya, dan leafpad sebagai penyunting teksnya di antara aplikasi lain yang telah tersedia secara pra-pemasangan untuk kegunaan harian bersama dengan alatan pemulihan (recovery), kesemuanya itu telah cukup dan memadai untuk menjadikannya sebuah sistem pengoperasian yang ringan dan amat berguna bagi tujuan pentadbiran sistem.


1.5. Kawalan Sistem Yang Minimum

Oleh kerana Slax menggunakan Fluxbox sebagai pengurus tetingkapnya yang dikenali antara yang teringan. Walaupun begitu ia didatangkan dengan pra-konfigurasi untuk tugasan yang paling biasa. Ini menjadikan penggunaan Slax kurang merumitkan daripada sebelumnya semasa menggunakan KDE yang terdapat pada versi Slax 7.x terdahulu.

Walaupun Slax menggunakan Flubox dianggap sebagai bukan persekitaran desktop "sebenar" kerana memiliki beberapa keterbatasan terhadap banyak fungsi pengawalannya sekalipun setelah membuat penyesuaian sistem bagi Slax. Namun begitu manfaat terbesarnya adalah kemudahannya yang mempunyai kebolehan pengubahsuaian sistem dan data anda disimpan dalam pemacu denyar USB.

Ya, anda boleh mendapatkan kelajuan prestasi tambahan dari Slax ketika melancarkan aplikasi dari cakera keras dan melaksanakan tugasan-tugasan pengkomputeran yang lain, tetapi itu agak berlebihan. Anda tidak dapat menjalankan Slax dari pemasangan cakera keras pada sistem dual boot, yang akan menimbulkan masalah lain.


1.6. Pembootan Fleksibel

Untuk pengetahuan semua, kami tidak menghadapi masalah untuk boot Slax dari pemacu USB yang dipasang ke komputer dengan beberapa sistem pengoperasian lain telah terpasang. Perbezaannya adalah tidak meletakkan Slax pada cakera keras pada sistem komputer secara dual booting. Namun ia tidak akan menjadi masalah langsung jika anda hanya mendedikasikan Slax sebagai sistem pengoperasian utama bagi sistem komputer tersebut.

Kami juga dapat menjalankan Slax dengan melakukan boot dari USB dan pemacu CD yang dipasangkan ke komputer riba atau komputer desktop yang mempunyai sistem pengoperasian Windows XP dan beberapa sistem pengoperasian Linux yang lain. Anda perlu menekan kekunci yang bersesuaian semasa komputer mula dihidupkan bagi melihat paparan menu pilihan boot Slax.

Slax dijalankan terus dari pemacu denyar USB anda tanpa pemasang atau instalasi ke cekera keras. Ini memberi anda sistem Linux yang anda boleh bawa ke dalam poket dan menggunakannya di mana-mana komputer yang anda gunakan.

Slax mempunyai footprint kecil pada penyimpanan fail pada USB. Ia juga memerlukan sedikit RAM. Saya tidak menghadapi masalah menggunakannya pada beberapa komputer riba dan desktop yang sangat lama dengan RAM minimum. Tetapi awas jika komputer anda memiliki memori yang kecil kurang dari 8MB bagi paparan maka ini akan menyebabkan ianya menjadi agak perlahan dan tersekat-sekat.


1.7. Pemasangan Yang Mudah

Laman web Slax mempunyai panduan yang terperinci bagi menghidupkan dan menjalankan Slax. Proses tersebut tidak memerlukan banyak persiapan sama sekali bagi pengguna Linux yang mahir dan berpengalaman. Sekiranya anda seorang yang masih hijau dengan Linux dan baru pertama kali mengenalinya, anda boleh membeli DVD mini yang berharga USD 19.95 atau microSD berserta dengan pembaca USB yang berharga USD 29.95 dan ia juga terdapat dalam bentuk pemacu denyar USB yang telah siap dipasang dengan Slax Linux.


Seperti yang semua telah sedia maklum, untuk membeli sistem pengoperasian Linux yang sudah terpasang pada peranti, anda membayar untuk medium penyimpanan, anda bukannya membeli sistem pengoperasian sumber terbuka yang percuma. Jika tidak, anda boleh memuat turun fail iso Slax bersaiz 264MB bagi senibina 64-bit dan 270MB bagi senibina 32-bit hanya dalam beberapa minit.

Kami akan menerangkan lebih lanjut mengenai proses pemasangan Slax ke pemacu USB dan cakera keras dalam artikel yang berlainan pada masa akan datang insyaAllah.


1.8. Aplikasi-Aplikasi Yang Tersedia

Kebiasaannya, edaran atau distro Linux yang berasaskan kepada Debian akan memerlukan penggunaan "sudo" bagi tujuan mengizinkan penggunan program arahan atau perintah administrasi bagi sistem. Tetapi dalam Slax kami melakukan pemasangan tanpa menggunakan sudo atau superuser. Jadi anda tidak perlu memasukkan kata laluan semasa membuat pemasangan aplikasi lain ke dalam Slax.

Slax Linux dilengkapi dengan pelbagai alatan-alatan sistem yang berasaskan GUI dan alatan yang berasaskan CLI dan sementara alatan yang berasaskan CLI juga tersedia dalam paparan antaramuka pengguna grafik (GUI), anda perlu menjalankannya dari tetingkap terminal. Contoh alatan tipikal yang terdapat dalam Slax ialah xterm.

Antara aplikasi-aplikasi yang tersedia dalam Slax seperti:
  • Xterm – terminal lalai bagi Slax
  • Chromium – penyemak imbas lalai bagi Slax
  • Leafpad – penyunting teks lalai bagi Slax
  • Qalculate – kalkulator
  • Scrot – aplikasi penangkapan skrin bagi Slax
  • Feh – pemapar gambar sederhana dan pengurus latar belakang desktop
  • rsync – aplikasi menyalin dan sinkronisasi fail secara remot
  • ddrescue – alatan pemulihan (recovery) data
Itu adalah sebahagian aplikasi yang telah tersedia sebagai aplikasi pra-pemasangan, tetapi anda juga mungkin mahu memasang aplikasi kegemaran anda, oleh itu anda boleh melihat senarai lanjut aplikasi GUI dan CLI yang telah disertakan bersamanya di laman web Slax Linux di sini.

Sekiranya anda mahu menggunakan Slax Linux secara serius, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah menggunakan tetingkap terminal untuk memasang Synaptic Package Manager yang menjadi program pengurusan pakej yang wajib bagi pengguna sistem pengoperasian yang berasaskan kepada Debian Linux.


1.9. Tangkapan skrin Slax Linux



1.10. Pemerhatian Lain

Kami mempunyai tiga masalah utama dengan Slax Linux.

Salah satunya adalah perangainya yang mudah menjadi lembab. Semakin banyak perisian yang kami masukkan pada inventorinya, semakin lambat persembahannya, jadi mungkin kami harus menetapnya dengan kumpulan utiliti yang lebih kecil.

Yang kedua ialah menjadi terlalu perlahan jika dijalankan dari pemacu CD, ini amat mengecewakan jika berbanding dengan edaran Linux dalam kelas pertengahan atau midweight yang lain seperti Zorin, Manjaro dan Ubuntu-MATE yang lebih pantas dari Slax sekalipun dijalankan dari pemacu CD.

Yang terakhir adalah pemasangan menggunakan APT kadang-kala mengalami gangguan koneksi ke pelayan, hanya setelah menjalankan arahan ping kepada router barulah masalah tersebut diatasi dan muat turun perisian dapat dimulakan.



1.11. Kesimpulannya

Slax boleh dijalankan pada pelbagai sistem fail yang berbeza, termasuk EXT (ext2, ext3, ext4), btrfs, dan bahkan FAT dan NTFS.

Kami mengambil masa lebih kurang satu jam untuk memuat turun aplikasi pengkomputeran dan peralatan aksesori yang bersesuaian dengan kegunaan dan keperluan kami. Pemasangan setiap program mengambil masa lebih lama daripada distro yang dipasang pada cakera keras. Pemacu USB jauh lebih perlahan daripada pemacu keras dalaman.

Setelah melakukan beberapa pemasangan aplikasi dan penyesuaian semua perisian yang diperlukan dan kemudian menjalankannya, kami agak berpuashati dan gembira dengan prestasi Slax Linux.

Slax bukanlah platform Linux yang sempurna, sekurang-kurangnya belum - tetapi bagi kami kemudahan dan keselesaan yang dimilikinya serta fleksibilitinya telah dapat mengatasi kekurangannya buat masa sekarang.

Wallahu a'lam
Perhatian: Kami tidak akan bertanggungjawap atas sebarang kejadian atau kesan yang dialami oleh anda dan sistem anda. Segala panduan yang terdapat dalam laman blog ini adalah bersifat ujikaji dan pendidikan semata-mata. Anda bertanggungjawap sepenuhnya atas sebarang kemungkinan yang berlaku terhadap sistem anda. Sekian harap maklum..

~ Admin Malaya Linux
Reactions

Post a Comment

0 Comments