Ringkasan mengenai apa itu Linux?


1.1. Apa Itu Linux?

Linux (Li-Nukhs) atau GNU/Linux (kerana memiliki sejarah yang berkait-rapat dengan projek GNU, iaitu suatu projek perisian bebas terkenal yang diketuai oleh Richard Stallman) adalah sebuah sistem pengoperasian sumber terbuka klonan Unix, yang dibangunkan oleh Linus Torvalds dan kemudiannya telah berkembang dengan bantuan para pengaturcara dari seluruh dunia.

1.2. Sejarah Pembangunan Linux

Pada mulanya Linus Torvalds yang pada ketika itu adalah seorang pelajar Universiti Helsinki Finland telah menulis Kernel Linux hanya sebagai hobi. Ia ditulis agar dapat menyerupai kernel Minix (juga sebuah sistem pengoperasian klonan UNIX yang direka untuk tujuan pembelajaran) yang bebas dan boleh disunting. Versi pertama kernel Linux yang dikeluarkan adalah versi 0.01 pada September 1991, manakala versi 0.02 pula dikeluarkan pada 5 Oktober 1991.

Richard Stallman (lahir 16 Mac 1953) seorang aktivis kebebasan perisian, penggodam (pengatur cara), dan pembangun perisian dari Amerika Syarikat adalah individu yang telah bertindak sebagai pengurus dan arkitek utama dalam melancarkan Projek GNU pada September 1983. Tujuan beliau melancarkan Projek GNU adalah untuk mencipta sistem pengeoperasian atau pengendalian ala Unix yang bebas. Dengan pelancaran Projek GNU, beliau telah membentuk satu gerakan perisian bebas dan kemudian pada Oktober 1985, beliau telah menubuhkan Yayasan Perisian Bebas (Free Software Foundation).

Projek GNU yang dilancarkan oleh Richard Stallman  untuk membangunkan sebuah sistem pengendalian lengkap seperti UNIX, iaitu sebuah sistem yang memiliki pengkompil, atur cara aplikasi, utiliti pembangunan dan pengurusan desktop dan lain-lain telah dikarang sepenuhnya dengan Perisian Bebas. Pada 1991, apabila versi pertama kerangka Linux ditulis, projek GNU project telah menghasilkan hampir kesemua komponen sistem ini kecuali kernel. Torvalds dan pembangun kernel seperti Linux menyesuaikan kernel mereka supaya dapat berfungsi dengan komponen GNU, dan seterusnya mengeluarkan sistem pengendalian yang dapat berfungsi sepenuhnya. Oleh itu, Linux telah melengkapkan ruang terakhir dalam rancangan GNU. Tetapi walaupun kernel Linux dilesenkan di bawah Lesen Awam Am GNU, ia bukannya sebahagian daripada projek GNU.

Linux memiliki semua ciri-ciri yang dimiliki oleh Unix, termasuk multitasking, virtual memory, shared libraries, demand loading, shared copy-on-write exexutables, proper memory management dan TCP/IP networking.

Walaupon linux memiliki ciri-ciri setaraf  sistem pengoperasian sebenar, hal tersebut tidak menjadikannya sebagai sistem pengoperasian yang mahal harganya. Linux boleh didapati secara percuma dan jika ada pun bayaran, ianya hanyalah sedikit caj yang berpatutan bagi tujuan menampung kos distribusi atau pengurusan semata-mata.

Linux didistribusikan dibawah GNU General Public License iaitu suatu bentuk perlesenan dimana pemilik program tetap memegang hak ciptanya tetapi individu atau entiti lain diberikan kebenaran untuk menyebar, memodifikasi atau bahkan menjual kembali program atau perisian tersebut tapi dengan syarat kod sumber (source code) asli ditetapkan agar mesti disertakan sekali bersama dalam distribusinya.

1.2.1. Bagaimana Linux Mendapat Nama

Pada mulanya Linus Torvalds ingin memanggil hasil ciptaannya itu sebagai Freax, sebuah portmanteau bagi "free", "freak", dan 'x' (sebagai kiasan kepada Unix). Semasa memulakan kerjanya pada sistem, dia menyimpan fail dengan nama "Freax" lebih kurang setengah tahun. Beliau pada masa itu telah mula mempertimbangkan untuk menggunakan nama "Linux", tetapi membatalkan hasratnya kerana beranggapan ianya terlalu egoistik.

Untuk memudahkan pembangunan, fail-fail tersebut telah dimuat naik ke pelayan FTP (ftp.funet.fi) FUNET pada bulan September 1991. Ari Lemmke di Universiti Teknologi Helsinki (HUT), yang merupakan salah seorang pentadbir sukarela untuk pelayan FTP pada masa itu, tidak beranggapan bahawa "Freax" adalah nama yang baik untuk digunakan. Oleh itu, dia menamakan projek itu "Linux" di pelayan tanpa berunding dengan Torvalds. Kemudian pada akhirnya Linus Torvalds pun bersetuju untuk menggunakan nama "Linux" bagi ciptaanya itu.

To demonstrate how the word "Linux" should be pronounced ([ˈliːnɵks]), Torvalds included an audio guide (About this soundlisten (help·info)) with the kernel source code.

Untuk menunjukkan bagaimana perkataan 'Linux' harus diucapkan ([ˈliːnɵks]), Linus Torvalds telah menyediakan sebuah fail audio berkenaannya seperti di bawah ini:

1.3. Logo dan Trademark Linux

Tux, seekor Penguin, merupakan logo dan maskot bagi Linux. Linux adalah tanda dagangan (SN: 1916230) yang dimiliki oleh Linus Torvalds. Ia didaftar sebagai "Perisian sistem pengendalian komputer bagi penggunaan komputer dan operasi". Tanda dagangan ini diletak setelah berlaku suatu kejadian di mana seorang peguam bernama William R Della Croce Jr mula menghantar surat kepada para pengedar Linux yang mendakwa tanda dagangan Linux adalah kepunyaannya serta meminta royalti sebanyak 10% daripada mereka. Para pengedar Linux mula mengumpul sumber serta membuat rayuan agar tanda dagangan yang asal diberi kepada Linus Torvalds. Perlesenan tanda dagangan Linux sekarang dikendali oleh Linux Mark Institute.

1.4. Distro atau Edaran Linux


Seperti yang kita telah ketahui bahawa Linus Torvalds adalah individu yang bertanggungjawap mencipta dan membangun serta mengembangkan kernel Linux dan kemudian mengedarkan versi pertamanya iaitu 0.01 pada tahun 1991. Linux pada mulanya diedarkan sebagai kod sumber sahaja, dan kemudian ianya beredar sebagai sepasang set imej disket yang boleh dimuat turun. Set yang pertama untuk bootable dan mengandungi kernel Linux itu sendiri, dan yang lain pula mengandungi set utiliti dan alatan GNU untuk penyediaan aturcara sistem fail. Oleh kerana prosedur pemasangannya yang rumit, terutama dalam menghadapi peningkatan jumlah perisian yang telah sedia dibangunkan, maka entiti pengedaran mula bercambah dan berkembang untuk mempermudah urusan ini.

Antara entiti terawal yang bertindak sebagai pengedar adalah seperti berikut:
  • H. J. Lu 'Boot-root', bermula, pada akhir 1991
  • MCC Interim Linux, dibuka kepada orang ramai untuk dimuat turun pada bulan Februari 1992
  • Softlanding Linux System (SLS), yang dikeluarkan pada tahun 1992
  • Yggdrasil Linux / GNU / X, edaran komersial yang pertama kali dikeluarkan pada bulan Disember 1992

Oleh kerena ianya adalah sebuah sistem pengoperasian sumber terbuka yang boleh dibangunkan oleh sesiapa sahaja. Maka tidak hairanlah mengapa terdapat begitu banyak edaran Linux atau lebih dikenali sebagai distro, yang dibangunkan oleh individu, syarikat korporat, dan lain-lain pertubuhan. Setiap satunya mungkin disertakan dengan perisian sistem dan program aplikasi tambahan, di samping menyertakan suatu program installasi yang memasang keseluruhan sistem dalam komputer baharu.

Secara kebiasaannya edaran atau distro sistem pengoperasian Linux akan disertakan dengan perisian-perisian lain. Misalnya seperti perisian pelayar dan pelayan web, bahasa pengaturcaraan, pangkalan data, persekitaran desktop seperti GNOME dan KDE, dan set aplikasi pejabat seperti LibreOffice. Distro-distro Linux tersebut telah mengalami pertumbuhan yang pesat dari segi populariti, sehingga lebih popular daripada sistem pengoperasian UNIX yang merupakan perisian hak milik dan ia semenjak itu telah mula memberikan cabaran terhadap dominasi Microsoft Windows dalam pasaran sistem pengoperasian baik untuk kegunaan pejabat mahupun dalam sektor komputer pelayan. Kebanyakan distro atau edaran Linux menyertakan pelbagai perisian berkualiti.

Antara edaran Linux yang digunakan secara meluas adalah:
  • Debian: Ian Murdock yang tidak berpuas hati dengan SLS yang tidak diselenggarakan dengan baik telah mendirikan Debian, kemudian melancarkannya pertama kali pada bulan Disember 1993.
    • Knoppix
    • Linux Mint Debian Edition
    • Ubuntu: Edaran bagi desktop dan pelayan yang berasal dari Debian, dibangun dan dikendalikan oleh syarikat dari Britain iaitu Canonical Ltd. Terlalu banyak pecahan edaran linux yang berasal dari Ubuntu, insyaallah mungkin akan ada artikel berasingan untuk membahaskan edaran-edaran Linux yang berasal dari Ubuntu.
  • Fedora: Sebuah edaran sumber terbuka yang ditaja oleh syarikat dari Amerika iaitu Red Hat, dan pengganti kepada Red Hat Linux.
    • Red Hat Linux Enterprise: Berasal dari Fedora, diselenggara dan disokong secara komersial oleh Red Hat
    • CentOS
    • Mandriva
  • Slackware: Berasal dari SLS, dilancarkan pada bulan Julai 1993 oleh Patrick Volkerding.
  • openSUSE: Salah satu edaran komuniti sumber terbuka yang ditaja oleh syarikat Jerman SUSE.
    • SUSE Linux Enterprise: Berasal dari openSUSE, diselenggara dan disokong secara komersial oleh SUSE
  • Arch Linux: Edaran sumber terbuka yang menyasarkan kepada pengguna yang mahir dan berpengalaman serta diselenggara oleh komuniti secara sukarela.
    • Manjaro: Edaran sumber terbuka yang berasal dari Arch Linux dan menyasarkan kepada pengguna baharu yang kurang mahir dengan memfokuskan kepada pemasangan yang dipermudahkan berserta sokongan desktop yang mesra pengguna.
  • Gentoo
  • Crux
  • Chrome OS

1.5. Jenis Sistem Dan Perkakasan Yang Diperlukan

Pada peringkat permulaan Linux pertama kali dibangunkan untuk sistem komputer yang berasaskan kepada sini bina 386/486 dan kemudian dikembangkan juga untuk sistem-sistem yang lain seperti DEC Alpha, SUN Sparcs, M68000 (seperti Atari dan Amiga), MIPS serta PowerPC.

Kini Linux boleh dipasang dan dioperasikan dengan dengan hanya menggunakan 1GB ruang cakera keras, 128MB-512MB RAM bagi edaran yang dipanggil sebagai "Lightweight Linux Distributions". Tetapi secara realistinya jika pemasangan Linux adalah bagi tujuan pembangunan aplikasi, video editing dan pelayan, tentunya sistem yang memiliki spesifikasi yang berkemampuan tinggi dan canggih diperlukan bagi menampung dan memehuni keperluan sistem pengoperasian Linux itu sendiri.

Sebagai sistem pengoperasian yang moden, pada masakini telah banyak entiti sama ada dari kelompok komuniti sukarelawan, pertubuhan dan korporat yang membangunkan perisian pemacu bagi perkakasan untuk disesuaikan dengan linux. Boleh dikatakan hampir tiada masalah seperti era permulaannya dahulu.

1.6. Pemasangan Sistem Pengoperasian Linux

Tidak dinafikan bahawa suatu ketika dahulu proses pemasangan atau installasi sistem pengoperasian Linux amat menyukarkan pengguna baharu untuk melakukan proses pemasangannya kedalam sistem komputer. Akibat dari proses pemasangan yang sukar itu sering-kali menjadi batu penghalang kepada pengguna baru dan tidak sedikit yang menyerah kalah dan berputus asa untuk mencubanya. Namun kini proses tersebut menjadi lebih mudah dan menyeronokkan. Dengan penerimaan Linux oleh beberapa pengeluar komputer peribadi terbesar, komputer yang disedia-pasang dengan edaran Linux boleh didapati. Terdapat juga edaran Linux yang membenarkan Linux dibut secara terus daripada Live CD tanpa perlu memasangnya ke dalam cakera keras. Contoh-contoh edaran Linux berbentuk Live CD adalah Knoppix/Gnoppix dan Gentoo. Imej ISO bagi CD untuk edaran Linux tersebut biasanya boleh dimuat turun daripada Internet, ditulis ke CD, dan seterusnya membutkan CD tersebut. Linux juga boleh dibutkan menerusi rangkaian, menerusi cakera liut, atau menerusi kad rangkaian.

1.7. Paparan Antaramuka Pengguna

Tatarajah atau pentadbiran bagi kebanyakan tetapan Linux seringkali perlu dilakukan menerusi penyuntingan fail teks dalam direktori /etc. Terdapat juga atur cara seperti Linuxconf dan GNOME System Tools yang bertujuan memudahkan kerja ini dengan menyediakan antara muka grafik. Namun baris perintah merupakan cara paling lazim digunakan.

1.8. Sokongan Bagi Pengguna

Sokongan bagi Linux biasanya didapatkan menerusi peer (dalam konteks ini bermaksud rakan dalam talian) - pengguna Linux lain di dalam forum internet, kumpulan berita dan senarai mel. Kumpulan Pengguna Linux (LUG, Linux User Group) telah ditubuhkan di sepelosok dunia bagi membantu pengguna tempatan (local user), pengguna baru, dan pengguna berpengalaman. Bantuan termasuk pemasangan, penggunaan, penyelenggaraan serta menggalakkan perkembangan sistem Linux. Pembekal komersil bagi edaran Linux secara umumnya mengamalkan model perniagaan dengan menyediakan sokongan. Terdapat juga sokongan dari pihak ketiga turut menyediakan bantuan.

Wallahu a'lam..
Reactions

Post a Comment

0 Comments